Sambil memuji persembahan yang dipamerkan skuad bim­bingannya, pengendali dari Itali itu mengakui Bayern memang berhak menang kerana bermain lebih baik daripada lawan mereka yang bakal dihadapi sekali lagi untuk aksi timbal balik kedua di Stadium Emirates pada 7 Mac nanti.

“Kami bermain bola sepak dengan hebat sekali. Ini satu kemenangan yang penting selepas menguasai semua posisi menerusi kepantasan dan kerjasama padu. Namun masih ada satu perlawanan lagi yang perlu dihadapi di London nanti.

“Jadi kami kena mengekalkan kehebatan ini. Yang pen­ting bekalan selesa bakal kami bawa ke sana,” kata Ancelotti yang puas walaupun baru semusim bersama Bayern.

Apa yang menarik, selepas ter­ikat 1-1 pada babak pertama, Bayern beraksi lebih garang dalam separuh kedua dengan menghasilkan empat lagi gol termasuk tiga yang dijaringkan dalam tempoh tidak sampai 10 minit.

Arjen Robben lebih dulu meletakkan Bayern di depan sebelum Alexis Sanchez menyamakan kedudukan yang kekal hingga 45 minit pertama berakhir.

Bagaimanapun, Arsenal hilang fokus apabila pemain pertahanannya Laurent Koscielny terpaksa dikeluarkan tidak lama selepas babak kedua bermula kerana cedera dan keadaan itu diambil kesempatan oleh Bayern untuk bermaharaja lela sehingga mampu menjaringkan tiga gol dalam 10 minit menerusi Robert Lewandowski dan Thiago Alcantara (dua) sebelum Thomas Mueller melengkapkan aksi hebat Bayern dengan gol kelima pada penghujung permainan.

“Walaupun menang, kami masih perlu menjaringkan gol di London nanti. Tetapi bekalan yang ada pun agak selesa. Saya rasa cukup untuk melayakkan kami ke suku akhir,” kata ketua pasukan Bayern, Philipp Lahm yang tidak akan bermain dalam perlawanan kedua akibat penggantungan.

Untuk rekod, Arsenal sudah tiga kali gagal melepasi Bayern setiap kali mereka diundi bertemu di peringkat Eropah termasuk musim ini. Sebelum ini mereka kalah kepada kelab dari Bavaria itu pada musim 2013 dan 2014. – REUTERS