Allegri menjangkakan pasukannya dapat beraksi dengan baik hingga lapan minit bersambung selepas rehat apabila pasukan pelawat berjaya memperoleh dua gol, termasuk jaringan akrobatik Cristiano Ronaldo malah skuad The Old Lady itu terpaksa beraksi 10 pemain setelah Paulo Dybala menerima kad kuning kedua.

“Tewas 3-0 sukar untuk kami menerimanya, kami bermain dengan baik pada satu jam pertama bagaimanapun semuanya berubah.

“Mereka sangat hebat, sebab itu Real Madrid memperoleh banyak kemenangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Apabila kami beraksi dengan 10 pemain sukar untuk menukar keadaan,” kata Allegri.

Berdasarkan rekod, Juve mencatat 16 kemenangan, seri 11 dalam 27 aksi di kejohanan berprestij Eropah itu dan tewas 2-0 kepada Bayern Munich pada aksi suku akhir musim 2012-2013 sewaktu di bawah kendalian Antonio Conte merupakan kekalahan terakhir mereka di Turin.

Sejak itu, The Old Lady mara ke pentas final Liga Juara-Juara sebanyak dua kali namun mereka tewas kepada Barcelona dan terbaharu, Real Madrid di Cardiff pada Jun lalu.

“Saya fikir kami sudah memperbaiki pasukan sejak Cardiff. Kami perlu membina pasukan kembali dan fikir mengenai kejohanan ini. Kemudian kami akan bertandang ke Madrid dan bermain dengan cara kami dan kami juga perlu beraksi di pentas final Piala Itali.

“Kami bertahan dengan baik dan memberi ruang sedikit sahaja kepada Real sehingga mereka memperoleh jaringan kedua. Kemudian kami terpaksa menerima padahnya.

“Ketiga-tiga gol tersebut boleh dielakkan namun inilah bola sepak, jika nasib tidak menyebelahi anda nasib akan berpihak kepada lawan dan itu akan menjadikan keadaan lebih sukar,” katanya lagi. - REUTERS