Bagi mereka, cukuplah Ahmad Amizal telah memalukan negeri ini dengan pelbagai isu yang timbul sejak kebelakangan ini sehingga nama pasukan bola sepak Perlis tercemar dan menjadi perbualan seluruh negara.

Desakan itu mula tersebar meluas di laman-laman Facebook bola sepak negeri ini malah kebanyakan penyokong yang meninggalkan komen turut menggesa Ahmad Amizal melepaskan jawatan.

Antaranya di laman Facebook Perlis Northern Lions yang menulis status cukuplah Ahmad Amizal memainkan perasaan penyokong yang menaruh harapan tinggi untuk melihat Singa Utara kembali bangkit.

"Dia ini (Presiden PFA) bukan setakat aniaya pemain tetapi seluruh rakyat Perlis (dipermainkan). Kita punya semangat duk berharap zaman kegemilangan Perlis kembali namun semuanya punah," kata pemilik Facebook Yanteen Azimat di ruangan komen.

Seorang pemilik Facebook bernama Faizol Nizam turut mencabar Ahmad Amizal agar bersemuka dengan pemain dan penyokong sebelum melepaskan jawatan.

Ahmad Yusri Ibrahim, 25, pula berkata, sebelum ini, penyokong teruja dengan pembaharuan yang cuba dibawa Presiden PFA namun akhinya semua telah ditipu.

"Cukuplah, apa lagi alasan yang hendak diberikan, kami sudah cukup malu apabila semua orang bercakap pasal Perlis. Setiap hari ada sahaja cerita tidak baik pasal Perlis," katanya.

Terdahulu, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang mengumumkan melepaskan jawatan jurulatih bawah 17 tahun Perlis turut membuat desakan agar Ahmad Amizal berundur selepas gagal mentadbir PFA seperti diamanahkan.

Kata bekas pemain kebangsaan itu, tindakan meletak jawatan adalah adalah jalan terbaik untuk menyelamatkan bola sepak Perlis berikutan pelbagai masalah yang timbul termasuk kegagalan membayar gaji pemain.

Sebelum ini, bekas penyerang sensasi kebangsaan, Safee Sali mengesahkan tidak lagi bersama pasukan Perlis dan lapan lagi pemain termasuk Mohd. Badri Radzi atau Piya bakal mengikut jejak langkah sama.

Perkembangan tersebut menyaksikan masa depan Perlis untuk melakar kejayaan dalam Liga Perdana musim ini semakin gelap selepas gagal menyelesaikan gaji pemain dan barisan kejurulatihan sejak Disember lalu. - UTUSAN ONLINE