Pemenang Piala Dunia dari Amerika Syarikat, Morgan merupakan individu paling lantang mengkritik Ronaldo menerusi artikel ‘Ronaldo adalah ikon rasuah dalam sukan’. Kritikan itu dilemparkan selepas berita bintang penyerang Portugal tersebut terlepas daripada pertuduhan jenayah berhubung dakwaan merogol pada 2009.

Morgan dan Ronaldo dijangka bersua muka pada 23 September ini di Milan, apabila kedua-dua mereka dicalonkan merebut anugerah ‘Pemain Terbaik Wanita FIFA’ dan ‘Pemain Terbaik Lelaki FIFA’.

“Saya akan melayan dia seperti orang lain yang saya temui. Saya fikir ramai dalam kalangan wanita kini lantang bersuara, dan penting dalam memberikan sokongan kepada kaum wanita. Saya fikir ramai yang mempersoalkan tentang apa yang benar dan salah.

“Apabila anda membaca berita seumpama itu (tentang Ronaldo), saya fikir terlalu banyak bukti yang diselindung, dan pada pengakhirannya, wang memainkan peranan menenggelamkan cerita berkenaan. Pertuduhan telah digugurkan, jadi dia boleh terus bermain.

“Bukan dia seorang perkara sebegini terjadi, tetapi dia salah seorang pemain ternama dalam bola sepak, jadi jelas dia meraih tumpuan. Saya rasa bertanggungjawab menyokong wanita malang yang berdepan situasi di mana mereka tidak mendapat sokongan sewajarnya,” katanya kepada Sports Illustrated. – AGENSI