Setiausaha Persatuan Bola Sepak Jajahan Tumpat (PBJ) Asmadi Rifin berkata, usahawan batik itu terbukti gagal mengotakan segala janji-janji yang telah dibuat semasa berkempen untuk jawatan Presiden Kafa sebelum ini.

Menurutnya, memburukkan lagi keadaan tindak-tanduk yang dilakukan oleh Bibi Ramjani sepanjang menggalas tanggungjawab banyak bercanggah sehingga memberikan kesan tidak baik pada persatuan dan pasukan.

Ujarnya, sudah tiba masanya Bibi Ramjani menyerahkan semula mandat kepada PBJ untuk melantik saf kepimpinan baharu bagi menerajui Kafa.

“Syarat Bibi Ramjani supaya Datuk Seri Amril Aiman Ab Aziz (Calon Presiden Kafa baharu) membayar hutang berjumlah RM5.3 juta adalah tidak betul dan salah,” katanya.

Asmadi memberitahu, apa yang dilakukan ini adalah sebahagian daripada rasa tanggungjawab terhadap Kafa dan masa depan Kelantan.

Katanya, secara jujurnya PBJ Tumpat menyesal mengangkat Bibi Ramjani sebagai penejaru Kafa dalam pemilihan terdahulu.

“PBJ Tumpat (ketika itu) tidak ada niat tertentu, hanya untuk melihat bola sepak Kelantan mahu serta memberi cabaran.

“Bagaimanapun, harapan PBJ Tumpat meleset apabila beliau (Bibi Ramjani) telah gagal dan mengabaikan tanggungjawab (pada ahli gabungan),” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Asmadi merayu kepada individu berkelayakkan supaya segera tampil menyelamatkan Kafa.

Katanya, situasi tidak sihat ketika ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana dibimbangi akan memburukkan keadaan.

“Sesiapa yang ambil alih Kafa dimasa akan datang perlu bertanggungjawab terhadap masa hadapan pasukan dan segala hutang piutang adalah tanggungjawab mereka,” katanya.- UTUSAN ONLINE