Jorg berkata, beberapa 'individu' dalam pasukan pengurusan didapati cuba mencampuri urusan dan perancangan yang dibuat jurulatih ketika perlawanan.

"Mereka duduk di kerusi VIP (orang kenamaan) dan telah mengarahkan jurulatih pasukan untuk menukar beberapa pemain dan perkara lain. Itu satu perbuatan tidak menghormati kami dan pemain.

"Saya nak tanya mereka, mereka datang untuk berikan sokongan ataupun memberikan tekanan kepada pasukan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi,” kata Jorg.

Kelantan tewas 0-1 kepada PDRM selepas Lee Changhoon menjaringkan gol pada minit ke-83.

Jorg berkata, barisan kejurulatihan dan para pemain memerlukan pasukan pengurusan yang bersikap profesional untuk memberikan sokongan kepada permainan yang dirancang bagi mendapatkan keputusan yang dapat mengembirakan semua orang.

"Mereka perlu profesional. Jika ada sebarang masalah dengan perancangan pasukan dan teknikal, mereka sepatutnya memaklumkan secara profesional (selepas tamat perlawanan).

"Semua pihak dalam KAFA perlu bekerja sebagai satu pasukan untuk menyelamatkan pasukan dan mencipta kemenangan dalam setiap perlawanan," katanya.- BERNAMA