MADRID - Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde berkata, dia tidak mahu mengambil risiko terhadap kecergasan Lionel Messi untuk menentang Real Betis hari ini, selain mahu melihat aksi lebih memukau daripada Antoine Griezmann.

Messi sudahpun kembali menjalani latihan selepas mengalami kecederaan betis pada 5 Ogos lalu, sehingga terlepas semua aksi pra musim Barca.

“Jika dia tidak berada dalam 100 peratus cergas, saya fikir dia tidak akan bermain. Kami perlu tunggu untuk latihan, saya tidak boleh membuat ramalan sembarangan.

“Saya tidak tahu sama ada kami boleh mengharapkan daripadanya atau tidak,” katanya.

Valverde sangat mengharapkan kemunculan semula Messi selepas Barca tewas 0-1 kepada Athletic Bilbao dalam aksi pembukaan La Liga minggu lalu, di mana Luis Suarez dan Ousmane Dembele turut mengalami kecederaan.

Ia menyebabkan Griezmann satu-satunya harapan di bahagian serangan untuk bertemu Betis, namun pemain kebangsaan Perancis itu agak tenggelam ketika berdepan Bilbao, malah bergelut untuk memberikan impak dalam penampilan sulung bersama kelab tersebut pada saingan kompetitif.- AGENSI