Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa)
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa)

Sumber yang rapat dengan pemain berkata, sebagai majikan Kafa perlu bertanggungjawab terhadap kebajikan anggota pasukan terutama kepada mereka yang masih lagi mempunyai kontrak dengan mereka.

“Pemain berhak untuk membuat tuntutan kerana ini melibatkan soal periuk nasi keluarga.

“Lagipun bola sepak adalah mata pencarian utama dan Kafa perlu hormati perkara ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan Kafa memberi amaran bahawa pemain Kelantan musim ini yang bercakap soal gaji dilaman-laman sosial tidak akan mendapat bayaran gaji.

Difahamkan Kafa masih lagi berhutang dua bulan gaji dengan barisan pemain TRW yang masih bersama pasukan ketika ini.

Selain itu, persatuan tersebut dikatakan masih belum melunaskan bayaran gaji sebanyak empat bulan kepada bekas kapten TRW, Mohd. Badhri Radzi dan tonggak pertahanan Amiridzwan Taj Tajuddin.

Sumber itu memberitahu, paling menyedihkan ada dalam kalangan mereka terpaksa menggunakan simpanan yang ada untuk menjelaskan bayaran pinjaman rumah dan kereta.

Katanya, ada juga kalangan pemain menerima surat amaran selepas gagal menjelaskan bayaran tunggakan bil utiliti.

“Pemain tidak akan bising kalau Kafa melunaskan tanggungjawabnya. Perkara ini bukan perkara baharu malah sudah ada pemain memuat naik gambar di laman sosial menyindir Kafa sebelum ini.

“Kafa mahu pemain memahami kedudukannya tetapi Kafa juga perlu memahami keadaan pemain yang mahu meneruskan hidup,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Badhri ketika dihubungi enggan mengulas berhubung kata dua yang diberikan oleh Bibi Ramjani.

Katanya, dia memilih untuk mengunci mulut kerana masih mempunyai baki kontrak bersama TRW hingga 31 November ini.