Setiausaha Agung FAM, ­Stuart Ramalingam menegaskan, tidak timbul juga isu pe­ngadil tempatan dianaktirikan oleh badan bola sepak negara itu kerana pelbagai program pembangunan, termasuk akademi pengadil sudah ditubuhkan.

Kata Stuart, FAM perlu berani melakukan perubahan dan tidak gentar dengan kritikan golongan minoriti yang menentang keputusan yang dibuat.

“Saya tidak faham isu ini (korupsi), bagaimana ia boleh dibangkitkan?

“Kita tidak pernah ada tuduhan korupsi, tidak sama sekali. Kami juga tidak pernah menya­takan atau berkata apa-apa mengenainya,” tegas Stuart ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Stuart, nilai perlawanan akhir agak tinggi berbanding aksi biasa, justeru FAM mahu melakukan percubaan dengan menggunakan khidmat pegawai luar.

“Selama ini peminat sering menganggap kualiti pengadil luar begitu tinggi, jadi biar mereka nilai sendiri.

“Bola sepak sentiasa ada perubahan dan kita kena berani berdepan golongan mino­riti yang menentang perubahan kerana bola sepak terlalu besar untuk mendengar satu atau dua orang yang tidak setuju,” katanya.

Ketiga-tiga pegawai dari Jepun itu juga tidak hanya mengendalikan final Piala FA di antara Kedah dan Perak di Bukit Jalil pada 27 Julai ini, malah akan memberi kursus kepada pengadil tempatan pada 24, 25 dan 26 Julai.

Semalam, pengadil Piala Dunia 2010, ­Subkhiddin Mohd. Salleh menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan FAM memilih pegawai luar untuk me­ngendalikan perlawanan besar di Malaysia, yang tidak memberi manfaat kepada pemba­ngunan pe­ngadil di negara ini.

Subkhiddin yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pe­ngadil FAM berkata, tindakan itu hanya memberi imej buruk kepada FAM dan Liga Malaysia (Liga M) kerana ia akan membawa pelbagai persepsi, termasuk mungkin wujud ‘korupsi’ dalam bola sepak tempatan sehingga memaksa pengadil luar dipanggil mengendalikan perlawanan utama.

Katanya, tindakan FAM itu juga adalah cara untuk menyelamatkan diri daripada takut dikecam penyokong seandainya mutu pengadilan perlawanan akhir dikritik.

“Tidak (elak dikecam), penggunaan pengadil luar ini bukan jalan singkat atau mahu lari daripada masalah.

“Akademi pengadil juga sudah ditubuhkan dan pemba­ngunan memang dalam pemantau FAM,” kata Stuart lagi.