Bek tengah kelahiran Brazil itu mendedahkan perkara tersebut menerusi status yang dimuatnaik dalam Instagram miliknya semalam.

Cassio berkata, dia membuat keputusan itu selepas mengambil kira masalah kewangan pasukan yang makin mendesak ketika ini.

Menurutnya, sebelum membuat keputusan untuk keluar dari The Red Warriors (TRW) dia telah memberikan masa kepada KAFA untuk menyelesaikan tunggakan gaji.

"Saya telah menunjukkan sikap profesional tetapi apa yang ditunjukkan KAFA bukanlah cara sebuah pengurusan sebuah kelab profesional," katanya.

Cassio memberitahu, dia berterima kasih kepada 'pemain ke-12' di atas sokongan padu yang telah diberikan selama ini.

Bagaimanapun katanya, sokongan sahaja tidak mencukupi untuk seorang pemain meneruskan karier.

"Saya harap Kelantan akan bangkit kerana TRW adalah sebuah pasukan yang bagus," ujarnya.

Pemain berjersi nombor empat itu akan menyertai Terengganu FC. - UTUSAN ONLINE