Menurut kenyataan polis Paris, kumpulan penyokong terbabit yang membawa bendera kedua-dua pasukan, berkumpul di lokasi berkenaan sebelum dan selepas perlawanan akhir, tetapi mereka enggan beredar dari zon penonton yang mampu menampung kira-kira 90,000 orang.

Jelas kenyataan tersebut, pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan tembakan meriam air untuk menghentikan tindakan ganas segelintir belia yang melontar objek dan botol ke arah anggota polis.

“Sebuah trak bomba dikerah ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran yang dicetuskan di kawasan laluan pejalan kaki oleh kumpulan penyokong yang tidak bertanggungjawab.

“Beberapa kebakaran lain turut berlaku di sekitar Paris termasuk sebuah kereta dibakar oleh penyokong berkenaan,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, sembilan orang ditahan di Lyon, timur Perancis kerana berkelakuan ganas, mengganggu ketenteraman dan memiliki mercun selain menyebabkan seorang anggota polis cedera akibat dilempar tin cat.

Keganasan penyokong bola sepak menghantui kejohanan Euro kali ini sejak hari pertama kejohanan apabila 35 orang cedera dalam pergaduhan antara penyokong England dan Rusia pada 11 Jun.

Kemudian penyokong Croatia membuat hal apabila melontarkan suar ke dalam padang menyebabkan perlawanan menentang Republik Czech terganggu selama beberapa minit dan mengundang amaran keras daripada UEFA.

Minggu lalu, pasukan polis antirusuhan melepaskan gas pemedih mata ketika bertempur dengan golongan belia di Champs Elysees di Paris selepas Perancis melayakkan diri ke perlawanan akhir Euro 2016. – AFP