Parrott selamatkan Ireland

Parrott selamatkan Ireland

PENYERANG Ireland, Troy Parrott (tengah) dan rakan sepasukannya meraikan kemenangan menewaskan Hungary 3-2 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Arena Puskas, Budapest, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUDAPEST: Troy Parrott muncul wira selepas meledak hatrik untuk membantu Ireland mengesahkan tempat ke pusingan play-off Piala Dunia dalam aksi kelayakan di Puskas Arena, Budapest, semalam.

Bekas penyerang Tottenham Hotspur itu mempamerkan antara aksi individu terbaik dalam sejarah bola sepak Ireland apabila dua kali menyamakan kedudukan sebelum menjaringkan gol kemenangan 3-2 pada masa kecederaan menentang Hungary.

Keputusan itu menyaksikan Ireland menamatkan saingan Kumpulan F di tangga kedua sementara Portugal muncul juara kumpulan.

Hungary mendahului perlawanan apabila menjaringkan gol seawal minit keempat melalui Daniel Lukacs yang menghukum permulaan Ireland yang perlahan sekali gus menghangatkan sorakan penyokong tuan rumah.

Ireland menyamakan kedudukan sejurus selepas itu menerusi sepakan penalti, namun Barnabas Varga kembali meletakkan Hungary di depan sebelum rehat dan mengembalikan kelebihan tuan rumah serta menolak Ireland semakin hampir kepada penyingkiran.

Babak kedua menyaksikan perubahan momentum apabila Ireland meningkatkan asakan bagi menghidupkan semula peluang mereka.

Parrott menyamakan kedudukan buat kali kedua pada pertengahan babak kedua menerusi penyudah tenang yang menstabilkan rentak skuad bimbingan Heimir Hallgrimsson dan mengubah haluan perlawanan.

Ireland yang turun dengan misi wajib menang terus menggandakan tempo dan memaksa Hungary bertahan jauh di kawasan sendiri.

Tuan rumah yang turut memerlukan kemenangan untuk mengekalkan harapan ke Piala Dunia juga bergelut untuk merampas kembali kawalan bola apabila Ireland terus menekan.

Detik penentu hadir pada masa kecederaan apabila Parrott menolak bola masuk dari jarak dekat untuk melengkapkan hatriknya, mencetuskan sorakan gemuruh penyokong Ireland dan meninggalkan pemain Hungary dengan kekecewaan selepas wisel penamat.

Pemain berusia 23 tahun yang kini beraksi di Belanda bersama AZ Alkmaar itu kelihatan sebak ketika ditemui selepas perlawanan, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu kebangkitan luar biasa.

“Inilah sebabnya kami mencintai bola sepak. Kerana perkara begini boleh berlaku. Saya cintakan tanah asal saya, keluarga saya ada di sini, ini sangat bermakna buat saya.

“Ini kali pertama saya menangis dalam beberapa tahun. Saya benar-benar tidak percaya,” katanya.

Hallgrimsson mengakui pasukannya bergelut pada awal permainan tetapi memuji kebangkitan pemainnya.

“Ia satu perlawanan yang luar biasa. Kami kelihatan gugup pada permulaan, pergerakan terbatas, bertahan lewat dan kurang agresif.

“Kami berikan segalanya, malah menurunkan tiga penyerang di penghujung aksi. Pemain-pemain layak mendapat kemenangan ini, dan tahniah kepada seluruh Ireland,” katanya.

Bekas kapten Ireland, Roy Keane, menyifatkan kemenangan itu sebagai pencapaian besar memandangkan permulaan kelayakan yang hambar.

“Mereka bangkit dengan sangat baik. Untuk menang hari ini, selepas keputusan menentang Portugal, memang luar biasa. Ia satu suntikan semangat besar untuk negara.

“Pengurus banyak dikritik, Parrott pula jaringkan hatrik. Ramai meragukannya, tetapi dia benar-benar tampil luar biasa sejak beberapa hari ini. Satu pencapaian hebat.

“Kini kita hanya berharap yang terbaik untuk play-off nanti,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN