Munoz enggan dabik dada

Munoz enggan dabik dada

PEMAIN Johor Darul Ta'zim (JDT) menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas berjaya menumpaskan Selangor FC 3-0 dalam perlawanan Sumbangsih 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, kelmarin- UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz berpuas hati dengan persembahan anak buahnya ketika menewaskan Selangor FC 3-0 dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol berusia 44 tahun itu enggan mendabik dada dan terlalu dibuai dengan kemenangan tersebut kerana kariernya bersama skuad Harimau Selatan baru sahaja bermula pada musim ini.

“Pemain bijak menghidu peluang gol setelah berjaya mencipta jaringan seawal minit pertama, ia memberi keyakinan buat pemain untuk menguasai permainan dan memaksa lawan bermain corak bertahan.

“Ketika usia permainan meningkat, kami mula mengubah tempo permainan dan melakukan transisi pantas kepada menyerang semula agar tidak terjerat dengan lawan yang cuba melakukan serangan balas.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan semua pemain termasuk yang membuat penampilan sulung dalam aksi pembukaan ini,” katanya selepas perlawanan.

Di sebalik kemenangan selesa itu, Munoz berkata, masih ada ruang untuk penambahbaikan dan beberapa aspek yang perlu diberikan tumpuan antaranya penekanan terhadap situasi bola mati.

Selain itu, katanya, JDT yang berwajah baharu itu dengan kemasukan lapan pemain baharu masih perlukan masa untuk membentuk keserasian dengan pemain lama dan dapat menyerap taktikal yang ditekankan.

“Bagi meningkatkan permainan, kita perlu perhalusi setiap aspek tanpa terburu-buru, jadi kita perlu ada cara untuk mencungkil kelebihan setiap pemain dan mampu beraksi di tahap lebih tinggi dan kompetitif.

“Pemain yang dibawa masuk ini masing-masing berpengalaman luas, jadi tidak sukar untuk mereka menyesuaikan diri dan membentuk keserasian,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN