ALOR SETAR: Detik pahit dirasai para penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas pasukan kesayangan mereka secara rasmi tersingkir dari saingan Liga Super musim depan akibat gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan.
Bagi penyokong setia Hijau Kuning, perkembangan itu bukan sahaja mencetuskan rasa kecewa, malah turut menimbulkan pelbagai persoalan terhadap hala tuju dan masa depan pasukan.
Presiden Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA), Nor Hasmadi Hamzah berkata, ramai penyokong berduka cita dengan keputusan First Instance Body (FIB) mengenai kegagalan Sang Kenari memperoleh Lesen Kebangsaan.
Menurutnya, keputusan Malaysian Football League (MFL) yang menetapkan syarat kewangan sebagai salah satu kriteria utama untuk mendapatkan lesen telah menyebabkan KDA FC gagal melayakkan diri, meskipun usaha lanjutan telah dibuat sebelum tarikh akhir 10 Mei lalu.
“Apa lagi yang hendak diungkapkan tentang bola sepak Kedah, pahit hendak ditelan kerana apa yang kami harapkan tidak menjadi memandangkan pelbagai kejayaan diraih sebelum ini ibarat hancur lebur begitu sahaja dengan penyingkiran ini.
“Bola sepak Kedah yang gah dengan pelbagai kejayaan kini seolah-olah akan lenyap kalau perkara ini dibiarkan. Kami hanya mampu melihat pasukan lain beraksi dalam Liga Super, yang merupakan sesuatu sukar untuk diterima,” katanya.
Menurut Nor Hasmadi, walaupun KDA mungkin akan beraksi dalam saingan Liga Semi Pro A1, namun suasananya amat jauh berbeza kerana Kedah antara pencabar terhebat dalam Liga Super.
“Sebagai penyokong kami rasa sukar untuk hadapi suasana sebegini dengan hanya melihat pasukan lain beraksi dalam saingan Liga Super, walhal selama ini Kedah antara yang memberi saingan sengit sebelum kemelut ini melanda,” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik kekecewaan itu, Nor Hasmadi berkata, pihaknya tetap menghargai semangat juang penyokong serta komitmen barisan pemain dan jurulatih yang setia membawa nama Kedah sehingga tamat saingan liga musim lalu.
“Kami tabik semangat mereka yang tetap bersama dalam perjuangan ini meskipun menghadapi pelbagai cabaran. Jasa mereka akan dikenang dan kami tetap berharap Kedah akan bangkit kembali seperti yang pernah dilakukan pada 2013,” ujarnya.-UTUSAN










