Maruah bola sepak negara terancam

Maruah bola sepak negara terancam

PERAK FC tidak akan menyertai Liga Malaysia pada musim depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maruah bola sepak tanah air dilihat berada di ambang kejatuhan apabila beberapa kelab bersejarah dalam Liga Malaysia (Liga M) berdepan kemelut yang boleh menyebabkan pengunduran mereka daripada saingan musim hadapan.

Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim menyuarakan kebimbangan terhadap nasib pasukan seperti Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Perak FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC yang menurutnya membawa nilai sentimental serta sejarah panjang dalam kancah bola sepak negara.

Menurut Zakaria, ketiadaan kelab-kelab ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada pemain, jurulatih dan pegawai kelab, malah turut mengancam keseluruhan ekosistem industri bola sepak, termasuk peniaga kecil yang menjana pendapatan melalui aktiviti perlawanan.

“Kalau betul pasukan-pasukan seperti ini dah tak main di Liga Super, saya risau bola sepak kita akan merudum selepas ini.

“Matlamat kita dalam Liga Malaysia adalah untuk pembangunan pemain dan kegembiraan penyokong. Tapi bayangkan jika kelab seperti Pahang, Perak dan Kedah tidak bertanding, ia satu kehilangan besar,” katanya.

Tambahnya, pasukan-pasukan yang memiliki kelompok penyokong ‘hardcore’ bukan sekadar mewarnai liga, malah menjadi tulang belakang kepada semangat kesukanan rakyat Malaysia yang setia menyokong sejak berdekad lalu.

“Peluang-peluang pemain akan semakin mengecil. Liga tanpa kelab yang kuat dari segi sejarah dan penyokong akan hilang nilainya. Ia bukan sekadar tentang permainan, tetapi warisan bola sepak negara,” ujarnya.

Bekas pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim juga dalam masa sama mengharapkan semua pihak dapat bekerjasama dan berganding bahu untuk berusaha mencari jalan membantu kelab-kelab tersebut bagi memastikan mereka mampu untuk terus berentap di pentas Liga Super.

Bahkan, pemain-pemain juga perlu memahami kondisi sesuatu pasukan untuk cuba melakukan rundingan gaji yang lebih berpatutan seiring dengan kemampuan pasukan tersebut.

“Kita faham dengan situasi kelab-kelab ini yang berdepan masalah kewangan, tidak banyak yang boleh saya komen, tetapi saya tetap berharap akan ada sinar untuk mereka mencari jalan agar dapat terus beraksi.

“Harap semua pihak akan dapat saling membantu sebagai contoh untuk mencari penaja dan sebagainya bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi mereka dan berbelanjalah ikut kemampuan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya