Melaka tidak sertai Liga Super 2024

Melaka tidak sertai Liga Super 2024

MOHD. SAIFUL MAT SAPRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) mengambil keputusan tidak menyertai Liga Super musim ini selepas rundingan untuk membeli lesen daripada pasukan Liga M3 (AFL) gagal mencapai kata sepakat.

Timbalan Presidennya, Datuk Mohd. Saiful Mat Sapri berkata, rundingan telah diadakan dengan salah satu daripada tiga pasukan yang layak ke Liga Super musim ini.

“Kita gagal mencapai kata sepakat dengan kelab terbabit untuk Melaka beraksi dalam Liga Super tahun ini. Selepas rundingan diadakan kedua-dua pihak tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang dibincangkan.

“Sehubungan itu MAFA mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam Liga Super tahun ini dan kita tumpu buat persiapan untuk musim depan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bagaimanapun kata Mohd. Saiful, jika Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menawarkan lesen baharu kebangsaan kepada MAFA, pihaknya bersedia menimbangkan perkara tersebut untuk rundingan seterusnya.

Menurutnya, untuk saingan musim ini, MAFA akan menghantar pasukan bagi Piala Belia, Piala Presiden, bola sepak wanita dan Liga Futsal Kebangsaan.

Jelasnya, berikutan keputusan tidak bertanding di Liga Super, MAFA memberi tumpuan kepada struktur pentadbiran, kewangan dan penajaan sebagai persiapan musim akan datang.

“MAFA mengharapkan kelab-kelab gabungan memberi sokongan dan mendoakan Melaka untuk bangkit mewarnai kancah bola sepak pada masa akan datang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN