PDRM bantai Penang FC 3-0 di Petaling Jaya

PDRM bantai Penang FC 3-0 di Petaling Jaya

Pemain PDRM FC, James Okwosa meraikan jaringan ketika membenam Penang FC 3-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini. (FOTO: ihsan MFL)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC mencipta kejutan apabila menumbangkan Penang FC 3-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

Skuad Yunus Alif melancarkan serangan bertubi-tubi ke gawang Harimau Kumbang dan hampir membuka jaringan pada minit ke 19 menerusi Mohamad Nabil Latpi, namun berjaya diselamatkan penjaga gol Penang FC, Azfar Arif Sukri.

Penantian PDRM akhirnya terlerai apabila pemain pertahanan Penang, Ousmane Fane menampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-35 ketika dia berusaha untuk mengeluarkan bola daripada kawasan berbahaya.

PDRM semakin mengganas di babak kedua dan Nabil hampir lagi mencatatkan nama sebagai penjaring, namun jaringannya pada minit ke-54 dibatalkan pengadil kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Skuad kendalian Yunus Alif tidak mengalah untuk cuba menggandakan jaringan, dan usaha mereka berhasil apabila James Okwosa menanduk kemas ke gawang Penang untuk menewaskan Azfar pada minit ke-75.

Bruno Suzuki menambah derita Penang pada minit akhir perlawanan apabila melepaskan rembatan kencang dari jarak jauh untuk gol ketiga PDRM dalam perlawanan ini, sekaligus membantu pasukannya meraih tiga mata penting.

Kemenangan ini meletakkan PDRM berada di tangga kelapan liga dengan mengumpul keseluruhan 27 mata, sementara Penang di tangga kesepuluh dengan hanya 19 mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN