ISKANDAR PUTERI: Penolong jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Pablo Ricchetti optimis pasukannya mampu mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah dengan menewaskan Terengganu FC pada perlawanan sumbangsih, malam esok.
Menurutnya, kemenangan itu penting bagi Harimau Selatan dalam misi mempertahankan piala Liga Super, sekali gus melebarkan rekod kejuaraan dengan memenanginya buat 10 musim berturut-turut.
Katanya, persembahan yang baik ketika menjalani siri perlawanan pramusim di Dubai, Emeriyah Arab Bersatu pada bulan lalu mampu diterjemahkan pada perlawanan menentang skuad Penyu di laman sendiri.
“Kami sudah bersedia 100 peratus untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super dan ia bermula dengan perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pembukaan liga musim ini.
“Pada perlawanan pramusim yang lalu, pasukan telah beraksi pada tahap tinggi dengan permainan intensiti tinggi, cuma ada sedikit ruang yang perlu diperbaiki.
“Fokus pasukan adalah untuk meneruskan kecemerlangan pada musim lalu dengan membentuk pasukan yang lebih berkualiti. Jadi, kita perlu menang pertembungan esok sebagai permulaan baik mengharungi saingan Liga Super,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
JDT memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah sejak 2018 dan menyasarkan untuk memenangi trofi itu buat kali keenam berturut-turut.
Mengenai barisan kesebelasan utama, Ricchetti berkata, pasukan belum memuktamadkan pemain yang akan diturunkan dan keputusan akan dibuat ketua jurulatih sebelum perlawanan penting itu.
“Kita mempunyai ramai pemain yang berkualiti termasuk muka baharu yang menyertai pasukan musim ini. Saya percaya siapa yang diturunkan mampu melaksanakan tugas dengan baik bagi menambah trofi untuk pasukan,” katanya.
Our campaign starts tomorrow 😎
More photos at https://t.co/ONnm6e9lc1#JDT#WhatCanYouDo#TrainingSession#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/RZTVtjMHQk
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) February 23, 2023
Dalam pada itu, pemain pertahanan JDT, Jordi Amat menjangkakan pertemuan yang sengit menentang Terengganu dan berharap rakan sepasukan dapat memberikan tumpuan penuh untuk mengutip tiga mata.
Katanya, kemasukan pemain baharu yang menyertai pasukan seperti Oscar Arribas, Juan Muniz dan Diogo Luis Santo yang menunjukkan keserasian mampu membantu pasukan sekiranya diberikan peluang beraksi.
“Kelab telah membuat keputusan yang baik dengan menandatangani pemain berkualiti, ia menyuntik kekuatan bagi pasukan di setiap sudut. Saya yakin menteliti juara yang diterapkan mampu membantu pasukan.
“Namun, kami tetap menghormati Terengganu, mereka memberikan tentangan hebat ketika perlawanan akhir Piala FA musim lalu dan menjangkakan perkara sama pada pertemuan esok,” katanya sambil memaklumkan tumpuan harus diberikan bagi mengekang pemain import Terengganu dari Thailand, Adisak Kraisom yang mampu menjadi duri dalam daging bagi JDT.