KUALA NERUS: Bermain di laman sendiri gagal dimanfaatkan Terengganu FC II apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Selangor II dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Pelawat terlebih dahulu menguji kubu tuan rumah pada minit ke-12 menerusi tolakan Saiful Islandar Adha Saiful Azlan yang diselamatkan penjaga gol, Mohd. Shafawi Mohamad.
Tuan rumah membalas serangan lapan minit kemudian, namun lorongan menarik Amirul Syazwan Nor Azmi disia-siakan oleh Jordan Mintah dan kemudian pintu gol Terengganu FC II pula yang nyaris dikejutkan George Attram pada minit ke-33, namun terselamat kerana tersasar.
Terengganu FC II menggandakan serangan selepas rehat menerusi percubaan Mintah pada minit ke-67 disusuli tandukan Muhd. Alif Zakaria pada minit ke-72 tetapi masih gagal menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman yang terus kental menjaga pintu golnya.
Walaupun menggandakan tekanan di hujung permainan, Terengganu FC II terpaksa akur dengan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat untuk terus berkongsi tujuh mata dengan Selangor II. – UTUSAN ONLINE