Difahamkan sudah ada proses mendapatkan penyelesaian antara kem A dan B dijalankan pada 13 Ogos lalu namun hasilnya gagal.

Proses yang mengikut perlembagaan MPM menerusi pengantaraan itu bertujuan mendapatkan kata sepakat antara dua pihak bertelagah dalam badan induk berkenaan.

Semua proses berkenaan dibuat bagi mendapatkan penyelesaian sama ada calon-calon yang lewat menghantar borang pencalonan bagi pemilihan AGM MPM layak bertanding atau sebaliknya.

Berdasarkan perlembagaan MPM, sekiranya proses pengantaraan itu tidak berjaya mencapai kata putus maka ia akan dibawa ke peringkat timbang tara dan keputusan dibuat berdasarkan syor diterima daripada pihak Pesuruhjaya Sukan atau Menteri Belia dan Sukan.

Tindakan berdiam diri MPM juga menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli gabungan badan induk itu tambahan pula Sukan Para ASEAN bakal berlangsung tidak lama lagi.

Bagi Presiden Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia, Dr. S. Radha Krishnan, dia amat berharap proses pemilihan AGM MPM itu dapat berlangsung segera kerana tumpuan lebih besar harus diberikan kepada persediaan kontinjen Malaysia menghadapi Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina.

“Paling penting ia harus berlangsung secara harmoni.

“Bukan saya sahaja tetapi rakan-rakan ahli gabungan lain juga amat mengharapkan MPM segera mengumumkan tarikh bagi menjalankan AGM.

“Penangguhan proses AGM ini pastinya sedikit sebanyak akan mengganggu fokus dalam mempersiapkan kontinjen negara ke temasya besar di Filipina, saya amat harap pihak Pesuruhjaya Sukan dapat membantu sama menyelesaikan isu ini,” kata Radha.

Kemelut MPM tercetus apabila ada pihak mempertikaikan kewajaran beberapa calon yang menghantar lewat borang pencalonan iaitu selepas tarikh tutup 15 Jun 2019.