Nur Hafieza Idris, 28, mengesahkan suaminya kini berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan keluar hospital esok selepas berada di IJN selama tujuh hari untuk menjalani pembedahan membuka saluran darah ke jantung.

“Mohd. Zamri selamat jalani pembedahan selama sejam setengah pagi tadi dan kini diminta berehat di wad sehari sebelum dibenarkan balik esok. Doktor cadangkan beliau rehat sepenuhnya daripada sebarang aktiviti berat untuk tempoh sebulan.

“Beliau hanya dinasihatkan untuk buat senaman ringan sahaja namun selepas sebulan, Mohd. Zamri boleh kembali lakukan aktiviti bersukan dan berbasikal, maksudnya yang senang sahaja,” katanya.

Pada 25 Ogos lepas, pelumba basikal berusia 35 tahun itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kerana dikhuatiri mempunyai masalah jantung.

Sebelum ini, ketika menyertai kejohanan di Jepun tiga minggu lepas, beliau dimasukkan ke hospital di sana kerana pitam dan disahkan hanya mengalami dehidrasi. - BERNAMA