Majlis pelepasan tersebut disempurnakan oleh Pegawai Daerah Muar, Mohd. Haffiz Ahmad tepat pukul 11 pagi ini.

Perlumbaan peringkat kedua tersebut menjadi tumpuan para pelumba bukit berikutan membabitkan banyak laluan mendaki.

Antara pelumba tumpuan ialah daripadaTeam Sapura Cycling, Benjamin Dyball yang pakar dalam laluan mendaki selain Mathew Zenovich yang mewakili St. George Cycling yang mahu mengekalkan jersi merah sebagai raja bukit kejohanan.

Tidak ketinggalan, pendahulu kejohanan Ryan Roth daripada XSpeed United yang pasti tidak mahu hilang genggaman jersi biru dimilikinya kepada pelumba lain.

Pada saingan peringkat kedua itu, pelumba akan melalui Tangkak, kaki Gunung Ledang, Segamat, Labis, Chaah dan berakhir di Jalan Besar di Pekan Yong Peng.

Tiga zon pecutan menanti para pelumba di Tangkak, Segamat dan Chaah, manakala satu zon mendaki kategori CAT4 di Gunung Ledang.

Pada perlumbaan peringkat pertama semalam, Roth muncul juara selepas sampai terlebih dahulu di garisan penamat dalam perlumbaan dari Dataran Mahkota, Iskandar Puteri ke Dataran Penggaram, Batu Pahat.

Roth 36, dari Kanada menamatkan perlumbaan pada masa dua jam 35 minit 3 saat, sekali gus merangkul jersi biru sebagai pendahulu keseluruhan.

Pelumba XSU itu berjaya sampai ke garisan penamat selepas bersaing sengit dengan Zenovic di tempat kedua manakala pelumba terkenal dari Team Sapura Cycling, Dyball meraih kedudukan ketiga keseluruhan. - UTUSAN ONLINE