Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, Malaysia ialah negara kedua di Asia selepas Korea Selatan, yang diberikan hak menganjurkan kursus melibatkan mekanik pasukan profesional.

“Saya sendiri agak terkejut apabila terima tawaran UCI. Ini sempena UCI Solidarity Programme. Saya difahamkan UCI telah bertanya kepada ACC (Konfederasi Berbasikal Asia) sebelum memberikan hak penganjuran untuk mengadakan kursus elit mekanik ini.

“Difahamkan ada beberapa negara lain termasuk Jepun, Kazakhstan, Iran, Hong Kong dan China berminat untuk menjadi negara penganjur kursus elit mekanik ini. Malah, Korea Selatan juga berminat untuk menganjurkannya buat kali kedua.

“Saya berasa gembira kerana Malaysia terima pengiktifaran terbesar daripada UCI. Bukan mudah untuk meyakinkan UCI kerana kursus mekanik Level 1 ini sangat berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MNCF, semalam.

Setakat ini, 11 negara iaitu Jepun, Iran, Thailand, Laos, Brunei, Myanmar, Indonesia, Sri Lanka, India, Singapura dan Malaysia telah mengesahkan penyertaan melibatkan 15 mekanik berpengalaman.

Malaysia turut menghantar lima mekanik profesional berpengalaman untuk menyertai kursus elit berkenan. Difahamkan dua pasukan profesional benua iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) dan Sapura Cycling Team (TSC) tidak melepaskan peluang keemasan untuk menghantar mekanik mereka bagi menambahkan ilmu berkaitan kejuruteraan berbasikal.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat ACC menjelaskan, UCI telah menghantar seorang pakar mekanik ternama di dunia kelahiran Geneva, Switzerland iaitu Enrique Guerrero pada kursus itu. - UTUSAN ONLINE