Pelumba berusia 23 tahun mewakili pasukan The Oliver’s Real Good Racing yang mengekalkan jersi merah sejak hari pertama, mengumpul 59 mata dalam klasifikasi pendaki, menambah 12 mata selepas memenangi kedua-dua pendakian Kategori Tiga di Peringkat Ketujuh, yang bermula dan berakhir di Underwater World, Pantai Cenang di sini hari ini.

Selepas memenangi gelaran sama dalam Tour de Tochigi, bulan lepas, dia menghampiri gelaran kedua Raja Bukit kerana pencabar terdekatnya dan pemegang jersi kuning (pendahulu keseluruhan), Benjamin Dyball ketinggalan 34 mata di belakang.

“Saya tahu saya hanya perlu memenangi pendakian pertama (di Bukit Beringin) untuk memiliki jersi itu. jadi saya pastikan menang pendakian hari ini. Untuk esok, saya akan mengekalkannya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Lyons memulakan musim 2019 dengan kejohanan lebuh raya kebangsaan, di Ballarat, Australia, dan bertanding dalam Herald Sun Tour sebelum memenangi gelaran Raja Bukit dalam Tour de Tochigi, Jepun.

Lyons mengakhiri perlumbaan hari ini di tempat ke-103 daripada 117 pelumba, 24 saat di belakang pemenang Simone Bevilacqua daripada pasukan Neri Sottoli Selle Italia KTM yang mencatatkan masa dua jam 17 minit 59 saat.

Dalam peringkat terakhir esok, perlumbaan sejauh 103.8km bermula dari Dataran Lang, melalui zon pecut di Nyior Chabang, Ulu Melaka dan Pekan Kuah termasuk pendakian Kategori Tiga di Lebuhraya Langkawi, sebelum menamatkan tiga pusingan di Kuah.

Pelumba Colombia Alvaro Raul Duarte Sandoval daripada pasukan Forca Amskins Racing memenangi jersi merah dalam edisi tahun lalu. - BERNAMA