Pelumba berusia 31 tahun itu berkata, inisiatif tersebut yang tercetus daripada ideanya penting untuk dilaksanakan memandangkan penglibatan atlet muda sangat terhad untuk bersaing dengan pelumba luar, yang jauh lebih berpengalaman.

“Kalau saya berlumba untuk pasukan Malaysia, ia akan menghadkan slot sebab ada beberapa acara hanya dua pelumba boleh sertai.

“Saya kalau boleh nak bagi peluang buat Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Zonis berlumba.

“Di samping meraih pengalaman, mereka juga boleh kutip mata ke Sukan Olimpik.

“Kalau saya berlumba menggunakan pasukan sendiri, ada slot untuk mereka berdua sertai pertandingan seperti Piala Dunia.

“Saya juga mempunyai ba­nyak penaja, kalau saya berlumba dalam pasukan kebangsaan, ada limit (had) daripada segi penggunaan logo tajaan.

“Jadi kalau saya berlumba dengan pasukan sendiri, saya boleh sama ratakan penajaan,” katanya dalam majlis Merea­lisasikan Impian Bersama Daikin di Shah Alam, hari ini.

Bermula pada Siri 1 Piala Dunia Trek di Saint-Quentin-en-Yvelines, Perancis, Oktober tahun lalu, Azizulhasni tidak lagi menggunakan nama CIMB Pro-Cycling sebagai pasukan yang diwakili di peringkat antarabangsa kerana terdapat masalah pengurusan.

Sebaliknya pelumba dari Dungun, Terengganu itu berlumba atas nama pasukan kebangsaan yang bernaung di bawah Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Mengulas lanjut, Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman berkata, kebanyakan pelumba muda memiliki potensi besar, namun kekurangan ilmu mengenai teknik kayuhan yang betul.

“Pemilihan pelumba diberi kepada yang berprestasi tinggi. Saya mahu mereka mendapat peluang dan pendedahan.

“Mereka ini bukan kita sasarkan terus jadi juara dunia, pasukan ini adalah platform untuk menjadikan pelumba yang kompetitif,” ujarnya