Lebih menarik, keputusan untuk bersaing dalam acara itu yang turut disertai gandingan pilihan utama Fatehah Mustapa-Nur Aisyah Zubir dari Terengganu, diputuskan kurang daripada 24 jam sebelum perlumbaan.

Kedua-dua pelumba yang mewakili Perlis itu merekodkan kepantasan memberangsangkan selepas mencatat 35.609 saat (s) dan bagi Jupha kejayaan serta masa dirakam di Velodrom Nilai itu adalah di luar jangkaannya.

"Sebenarnya saya tidak jangkakan boleh menang dan dapat masa yang bagus. Penyertaan kami ini pun dilakukan saat akhir semalam. Kami langsung tidak berlatih dan tiba-tiba terus kayuh acara ini.

"Apa yang dilakukan pada perlumbaan ini itulah apa yang terbaik mampu saya berikan. Tak sangka boleh tewaskan Terengganu dan Selangor," kata Jupha yang telah mengutip dua emas dan satu gangsa ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Gandingan Fatehah-Nur Aisya mencatat 36.194s untuk meraih pingat perak manakala Selangor diwakili Farina Shawati Adnan-Nurqadrina Emylia Norzali merangkul gangsa.

Jupha, 26, meraih emas pertama semalam dalam acara Omnium wanita sebelum turut membawa pulang gangsa dalam acara keirin wanita yang berlangsung hari ini.

Sementara itu, pelumba muda meningkat naik Anis Amira berpuas hati dengan prestasi dan pencapaiannya pada kejohanan itu selepas merangkul satu emas, satu perak dan dua gangsa.

"Memang matlamat utama saya masuk kejohanan ini untuk belajar dan meraih pengalaman seberapa banyak yang mungkin. Pingat tu saya anggap sebagai bonus dan saya berpuas hati sangat dengan penampilan saya kali ini," kata pelumba berusia 21 tahun itu.

Selain emas diraih hari ini, Anis Amira turut merangkul perak dalam acara keirin wanita selain dua gangsa masing-masing diraih dalam acara pecut individu dan 500 meter ujian masa wanita (m) semalam.- BERNAMA