Skuad yang dibarisi dibarisi atlet Fakhruazam Hanifiah, Nurfitri Ammar Rusli dan Nur Aiman Rusli dijadualkan menyertai kejohanan di Jawa Barat sebagai langkah pendedahan peringkat antarabangsa seperti yang direncanakan oleh MSNJ.

Pengarah MSNJ, Mohd. Gadaffie Abd Aziz berkata, penjenamaan tersebut seiring dengan proses transformasi pasukan kepada arah yang lebih profesional.

"Nama Iskandar Johor Cycling Team juga telah dipersetujui untuk digunapakai MSNJ malah ia juga akan digunakan bagi kejohanan-kejohanan tempatan dan antarabangsa pada masa hadapan termasuk bentuk sokongan lain yang kini sedang diperbincangkan,” katanya.

Penjenamaan baharu itu juga adalah salah satu proses pemerkasaan pasukan berbasikal Johor melalui penglibatan peneraju pembangunan Iskandar Malaysia, iaitu Iskandar Investment Berhad (IIB) sebagai penaja utama.

Pengumuman penjenamaan skuad berbasikal Johor itu dibuat dalam satu majlis pelancaran jersi baharu pasukan yang juga simbolik kepada kerjasama yang akan dijalinkan IIB dengan pihak MSNJ dalam usaha menaikkan profil sukan berbasikal dan memperkasa usaha mencungkil bakat-bakat baharu berbasikal di negeri berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, ini juga adalah usaha pihaknya bagi memastikan Johor mampu menjadi lubuk pelumba-pelumba berbasikal kebangsaan.

"Kami juga akan terus menyokong Iskandar Johor Cycling Team sebagai inisiatif IIB untuk agenda pembangunan komuniti, terutamanya dalam bidang sukan," kata Ir. Khairil.