Thomas, 32, melakar sejarah 105 tahun Tour de France apabila muncul pelumba Wales pertama dinobat sebagai juara.

Sejurus menamatkan peringkat terakhir di Champs-Elysees, Paris dia berdiri di depan ribuan penonton dengan memberi ucapan: “Kepada semua peminat muda di luar sana, anda mungkin akan berdepan detik bangun dan jatuh tetapi percayalah tiada perkara yang mustahil.

“Dengan kerja keras, ia akan menghasilkan kejayaan. Terima kasih banyak-banyak, Vive Tour de France”.

Thomas yang terdahulu me­ngucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Team Sky dan keluarga, turut menegaskan, dia tidak pernah mengambil dadah, malah menafikan ada menjalani rawatan asma dan diberi pengecualian untuk semua bahan terlarang (TUE).

“Perkara buruk mengenai TUE ketika ini adalah, jika anda mempunyai TUE, orang akan melihatnya seperti sesuatu yang negatif sedangkan keadaan sebenar bukan begitu. Sama se­perti rawatan asma.

“Bagaimanapun, saya tidak mengambil semua rawatan itu, termasuk TUE. Saya tidak pernah menggunakan apa jua bahan terlarang,” kata Thomas.

Dikenali sebagai pelumba pa­ling merendah diri dalam peloton, kemenangan Thomas bukan sahaja diraikan rakyat Wales, malah peminat Perancis yang sebelum ini memberi kesukaran kepada Team Sky sepanjang perlumbaan.

Ketika menaiki podium, dia disambut dengan sorakan dan tepukan, berbanding ketika pa­sukannya mengharungi beberapa peringkat apabila mereka diejek serta dicemuh penonton.

Antara faktor Team Sky amat dibenci sepanjang Tour de France adalah kerana pasukan dari Britain sudah mendominasi perlumbaan sejak 2012, malah ramai yang mempunyai persepsi mereka beraksi dengan cara ‘kotor’ selepas dikatakan menggunakan TUE untuk membantu kemenangan Sir Bradley Wiggins pada 2012.

Thomas mengumpul masa keseluruhan 83 jam, 17 minit dan 13 saat untuk mengetepikan pelumba Belanda, Tom Dumoulin dari Team Sunweb (83’19:04s), manakala rakan sepasukannya yang juga juara empat kali, Chris Froome di tempat ketiga.

Peringkat terakhir yang meliputi jarak 116 kilometer dimenangi pelumba Norway, Alexander Kristoff dari pasukan UAE Emirates. – AGENSI