Roth, 36, dari Kanada menamatkan perlumbaan dengan catatan masa dua jam 35 minit 3 saat, sekali gus merangkul jersi biru sebagai pendahulu keseluruhan.

Pelumba XSU itu berjaya sampai ke garisan penamat selepas bersaing sengit dengan pelumba St. Goerge Cycling Team, Mathew Zenovich di tempat kedua manakala pelumba terkenal dari Team Sapura Cycling, Benjamin Dyball, ketiga keseluruhan.

Kejayaan tersebut turut membolehkan Roth merangkul jersi putih selepas merangkul banyak mata terkumpul di tiga zon pecutan selain Zenovich berjaya memenangi jersi merah sebagai raja bukit.

Selain itu, jersi hitam iaitu pelumba muda terbaik kejohanan bawah umur 23 tahun dimenangi pelumba XSU, Evan Burtnik.

Roth dalam sidang akhbar selepas itu mengakui tidak menjangka akan memenangi perlumbaan itu kerana baharu pertama kali menyertai kejohanan berbasikal di negara ini.

“Perlumbaan hari ini begitu sengit dan laju dan saya cuba bertindak agresif untuk mendahului perlumbaan.

“Cabaran perlumbaan adalah cuaca panas yang agak menyukarkan kerana kami berlatih dalam suhu sejuk tapi kami sepasukan berjaya mengharunginya hasil kerja sama berpasukan,” katanya.

Majlis penyarungan jersi biru kepada Roth disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Hal Ehwal Agama negeri, Aminolhuda Hassan dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk Abu Samah Wahab.

Sementara itu, Zenovich dan pasukannya bertekad mengekalkan jersi merah pada perlumbaan esok kerana ramai pelumba mahu cuba merebut gelaran tersebut.

“Perlumbaan esok agak sukar dan zon pendakian pada peringkat awal yang mungkin ada pelumba akan cuba bertindak awal,” katanya.

Dalam pada itu, Burtnik, 22, turut menjangkakan jersi hitam yang dimenanginya akan terus menjadi rebutan terutamanya pelumba dari Malaysia.

Bagi perlumbaan peringkat kedua TdIJ 2010 esok akan bermula dari Tanjung Emas, Muar dan berakhir di Jalan Besar, Yong Peng melibatkan jarak 163.6 kilometer. - UTUSAN ONLINE