“Oleh itu, kita tidak boleh mudah berpuas hati dan selesa dengan apa yang ada. Kita harus berusaha untuk mengadakan lebih banyak program pencarian bakat di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, kejohanan Junior Cycling Malaysia (JCM) 2019 anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) dan Yayasan CIMB adalah contoh terbaik untuk mendapatkan lebih ramai lagi bakat muda menjadi pelapis bagi pasukan berbasikal negara.

Sebagai contoh, pelumba muda negara Abdul Azim Aliyas, 17, merupakan antara bakat yang dicungkil melalui program JCM.

“Kini beliau berada di German untuk kejohanan The Union Cycliste Internationale (UCI). Ada juga atlet-atlet pelapis lain yang telah ditemui melalui program seperti ini.

“Walaupun program ini akan berakhir tahun depan tetapi saya berharap Yayasan CIMB dan juga syarikat swasta yang lain akan terus untuk bekerjasama dengan MSN demi untuk kemajuan sukan di negara ini,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan JCM 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Mohamad Taufek Abd Ghani.

Steven Sim berkata, program JCM ini telah diadakan sejak 2016 dan mendapat kerjasama Yayasan CIMB dan bermula 2017 program ini telah diperluaskan lagi bertujuan mencungkil bakat baharu untuk sukan berbasikal tanah air.

Pada tahun ini, JCM mempunyai sembilan siri kriterium dan selain itu, turut diadakan adalah empat lumba lebuh raya, dua kejohanan ujian masa individu, tiga kejohanan trek, lapan klinik kemahiran berbasikal dan dua program ‘Path of Champions’ iaitu Jelajah Eropah dan Jelajah Australia.

“JCM memang bertujuan mencungkil bakat dalam sukan berbasikal negara,” katanya.

Sementara itu, Terengganu diumumkan sebagai pemenang pasukan terbaik kejohanan itu, diikuti Kelantan dan Selangor.

Pelumba tuan rumah Negeri Sembilan Muhammad Firdaus Shahrum dan pelumba Terengganu Muhammad Sanim Fitri Abd Halim, masing-masing muncul pemenang Raja Bukit dan Raja Pecut, manakala seorang lagi pelumba tuan rumah Negeri Sembilan Kee Zhe Tie muncul pendahulu individu keseluruhan.-BERNAMA