Ini bermakna Pro Apparel akan menjadi rakan pakaian dan kit Perlumbaan Rasmi Berbasikal Remaja Malaysia.

Tempoh perjanjian tersebut telah pun berkuat kuasa bermula Januari tahun ini sehingga Disember tahun hadapan.

Pengarah Urusan Pro Apparel Asia, Muhammad Nur Farhan berkata, pihaknya amat berterima kasih berikutan diberikan kepercayaan untuk bersama membangunkan berbasikal remaja Malaysia.

“Tahun ini adalah tahun yang istimewa buat Pro Apparel kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan JCM dalam membangunkan bakal-bakal bintang berbasikal negara, secara tidak langsung memberikan pendedahan awal tentang dunia lumba basikal.

"Dengan kerjasama ini, saya berharap agar momentum program JCM dapat dikekalkan dan diperhebatkan lagi sehingga ke peringkat antarabangsa seiring dengan misi jenama kami,”katanya.

Melalui kerjasama tersebut Pro Apparel bersetuju menaja pakaian bagi siri kejohanan kriterium, lumba lebuhraya, ujian masa, trek dan klinik anjuran JCM selain daripada kit perlumbaan buat para pelumba yang menyertai Jelajah Eropah dan Australia.

Majlis pengumuman tersebut disempurnakan menerusi pemberian plak jersi Pro Apparel kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong di D’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan, Mohamad Taufek Abd. Ghani dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Sementara itu, Terengganu diumumkan sebagai pemenang pasukan terbaik Perlumbaan Basikal Berperingkat Remaja Kebangsaan Yayasan CIMB diikuti Kelantan dan Selangor.

Pelumba Terengganu, Kee Zhe Yie muncul pendahulu individu keseluruhan. - UTUSAN ONLINE