ABU SAMAH

Sambil berjanji akan ambil perhatian selain membantu pelumba berusia 25 tahun dari Perak itu untuk ke Sukan SEA 2019 di Filipina hujung tahun ini, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab berkata, Nur Assyira bagaimanapun perlu melalui beberapa proses pemilihan terlebih dahulu sebelum boleh melayakkan dirinya ke temasya dwi tahunan itu.

“Kita akui nama dia tiada dalam senarai PKBM mahupun persatuan negeri. Kalau tidak keluar di Utusan Malaysia mungkin kita tak tahu akan kewujudannya dan potensi yang ada padanya.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan Naib Presiden yang juga Pengerusi Jawatankuasa Basikal Bukit PKBM, Mazlan Mat Jail untuk menghubungi Nur Assyira dan mendapatkan profil dia untuk kita ketengahkan ke Sukan SEA jika layak,” kata Abu Samah merujuk laporan akhbar Utusan Malaysia menerusi ruangan Apa Cerita, hari ini.

Menurutnya, dua faktor dikenal pasti menjadi punca nama Nur Assyira tercicir daripada radar PKBM ialah ketiadaan komunikasi antara majlis sukan negeri dan Persatuan Berbasikal Perak serta kegagalan Persatuan Berbasikal Negeri Sabah yang menjadi tuan rumah kejohanan kebangsaan dan siri basikal bukit Asia tahun lalu menghantar laporan kepada PKBM menyebabkan nama atlet itu terlepas pandang.