ABU SAMAH

Sambil berjanji akan ambil perhatian selain membantu pelumba berusia 25 tahun dari Perak itu untuk ke Sukan SEA 2019 di Filipina hujung tahun ini, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab berkata, Nur Assyira, bagaimanapun, perlu melalui beberapa proses pemilihan terlebih dahulu sebelum boleh melayakkan dirinya ke temasya dwi tahunan itu.

“Kita akui nama dia tiada dalam senarai PKBM mahupun persatuan negeri. Kalau tidak keluar di Utusan Malaysia mungkin kita tidak tahu akan kewujudannya dan potensi yang ada padanya.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan Naib Presiden yang juga Pengerusi Jawatankuasa Basikal Bukit PKBM, Mazlan Mat Jail untuk menghubungi Nur Assyira dan mendapatkan profil dia untuk kita ketengahkan ke Sukan SEA jika layak,” kata Abu Samah merujuk laporan akhbar Utusan Malaysia menerusi ruangan Apa Cerita, hari ini.

Menurutnya, dua faktor dikenal pasti menjadi punca nama Nur Assyira boleh tercicir daripada radar PKBM selepas satu perbincangan mengenainya turut diadakan secara kebetulan pada mesyuarat jawatankuasa BMX di Velodrom Nasional dekat Nilai, hari ini.

Pertama katanya, adalah hubungan dingin antara Majlis Sukan Negeri Perak dan Persatuan Berbasikal Perak (PCA) yang tidak mempunyai komunikasi yang baik antara satu sama lain menyebabkan bakat dimiliki Nur Assyira gagal diketengahkan.

Keduanya, tambah Abu Samah, ialah kegagalan Persatuan Berbasikal Negeri Sabah yang menjadi tuan rumah kejohanan kebangsaan dan kejohanan siri basikal bukit Asia tahun lalu menghantar laporan kepada PKBM menyebabkan nama Nur Assyira terlepas pandang.

“Saya juga telah menghubungi Presiden PCA, Datuk Amarjit Singh supaya ambil perhatian tentang kelemahan yang timbul kerana inilah aset yang kita ada buat masa sekarang dan ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin jika benar-benar pelumba seperti ini berpotensi untuk diketengahkan,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE