Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat Exco hari ini selepas mengambil kira laluan berbukit di Filipina nanti.

Naib Presiden PKBM, Firdaus Arshad ketika mengumumkan barisan pelumba yang akan diserahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk kelulusan mengakui, nama-nama besar yang menyinar di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 April lalu tidak terpilih kali ini.

“PKBM hanya pilih pelumba pendaki sahaja baik untuk acara lepas beramai-ramai mahu pun ujian masa berpasukan. Ini penting kerana untuk memberikan cabaran bermakna di Filipina hujung tahun ini, kita kena sesuaikan pasukan negara dengan laluan yang digunakan di sana nanti.

“Kalau laluannya dah berbukit, tentulah yang sesuai kita hantar adalah pelumba yang kuat mendaki,” katanya selepas mesyuarat yang dipengerusikan Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab.

Sebagai rekod, enam pelumba yang dipilih untuk acara lepas beramai-ramai adalah Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Akmal Hakim Zakaria, Sofian Nabil Omar Bakri, Mohd. Shahrul Mat Amin, Muhammad Elmi Jumari dan Irwandie Lakasek.

Kesemua mereka ini menduduki tempat pertama hingga keenam pada kejohanan kebangsaan yang diadakan di Kuala Kubu Bharu minggu lalu.

Bagi acara ujian masa perseorangan, lima pelumba telah dipilih iaitu Muhsin Al Redha Misbah, Muhammad Zawawi Azman, Mohd. Nor Umardi Rosli, Mohd. Shaiful Adlan Mohd. Shukri dan Muhammad Afiq Huznie Othman.

Bagi acara ujian masa berpasukan pula di mana kita adalah juara bertahan, pelumba terdiri daripada Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Nik Mohd. Azwan Zulkifle, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Muhammad Danieal Haikkal Edy Suhaidee dan Muhammad Nur Aiman Rosli.

PKBM juga tidak ketinggalan menyenaraikan lima pelumba wanita untuk ke Filipina iaitu Jupha Somnet, Nur Aisyah M. Zubir, Nur Azrenna Ahmad Jumry, Masziyaton Mohd. Radzi dan Nur Qadrina Emylia Zainuddin bagi acara lepas beramai. - UTUSAN ONLINE