PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk Abu Samah Abd. Wahab memutuskan untuk bertemu Kesatuan Berbasikal Antarabangsa di Aigle, Switzerland pada awal bulan depan.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd. Wahab berkata, dia sendiri akan mengetuai delegasi tersebut bagi bertemu Presiden UCI, David Lappartient di Aigle, Switzerland pada awal bulan depan.

“Saya sudah menghubungi penyelaras UCI, Gilles Peruzzi bagi mendapatkan tarikh pertemuan dan dalam hal ini, saya merasakan selaku wakil UCI, PKBM mesti segera selesaikan status homologation Velodrom Rakyat.

“Velodrom Rakyat akan digunakan untuk pelbagai kejohanan termasuk Sukan Malaysia (Sukma) yang akan diadakan di Ipoh, tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM di sini, hari ini.

Homologation adalah proses mengesahkan semua spesifikasi yang dibina di Velodrom Rakyat menepati piawai UCI.

Beliau menegaskan bahawa PKBM akan menyenaraikan nama Datuk Amarjit Singh selaku Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif UCI, kontraktor dan semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam pembinaan Velodrom Rakyat untuk ke Aigle nanti. - UTUSAN ONLINE