Majlis pelepasan para pelumba tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi pada pukul 3 petang.

Turut hadir Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu.

Perlumbaan menempuh laluan berbukit pada awal saingan dan kemudian laluan landai bermula dari Kluang, Simpang Renggam, Kulai dan berakhir di Johor Bahru.

Perlumbaan peringkat akhir itu merupakan laluan yang terpendek dalam kejohanan terbabit, sekali gus bakal menyaksikkan perlumbaan yang pantas dan sengit.

Ini berikutan jurang masa antara pendahulu perlumbaan kejohanan (Jersi Biru), Mario Vogt daripada Team Sapura Cycling (TSC) dengan para pelumba lain tidak jauh beza dan akan memberi tekanan antara mereka.

Selain itu, kedudukan Vogt, pemilik Raja Pecut (Jersi Putih), Ryan Roth daripada XSpeed United; Raja Bukit (Jersi Merah), Dominic Perez yang mewakili 7Eleven Cliqq-Air21 dan Pelumba Muda Terbaik (Jersi Hitam), Muhammad Shaiful Adlan Mohd. Shukri daripada TSC juga masih tidak selamat.

Sebanyak tiga zon pecutan iaitu di Simpang Renggam, Kulai dan Impian Emas, Johor Bahru manakala zon pendakian kategori CAT4 di Bukit Renggam.

TdIJ 2019 merupakan kejohanan bertaraf antarabangsa kategori 2.2 di bawah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) membabitkan tiga peringkat perlumbaan sejauh 403 kilometer bermula 17 hingga hari ini.

Sebanyak 23 pasukan melibatkan lebih 100 pelumba daripada pasukan UCI kontinental, pasukan negeri dan negara serta kelab menyertai kejohanan tersebut. - UTUSAN ONLINE