Sukan berbasikal kini kian terdesak kerana ketandusan persaingan sihat selain menjadikan ia hilang seri kerana sudah boleh menjangkakan lebih awal pasukan mana yang akan menjadi pemenangnya.

Hanya pada 2014 menyaksikan Vincenzo Nibali dan pasukannya, Astana berjaya menyekat penguasaan Sky.

Selebihnya, ia di­dominasi Sky menerusi tiga pelumba berbeza iaitu Bradley Wiggins, Chris Froome dan terbaharu, Geraint Thomas yang muncul juara ke­seluruhan berpasukan serta individu.

“Kita tidak boleh menyalahkan mereka (Sky) kerana memenangi­nya. Mereka adalah versi Real Madrid dalam bola sepak.

“Mereka seperti mesin pengayuh yang memenangi kejuaraan diketuai tiga tonggak yang berbeza,” kata pengarah perlumbaan, Christian Prudhomme.

“Mereka memiliki watak yang terbaik dalam setiap posisi,” kata pula pelumba AG2R dari Perancis, Romain Bardet pula.

Pelumba termuda Sky dalam Tour de France, Egan Bernal sudahpun memiliki beberapa pencapaian besar, biarpun usianya baru mencecah 21 tahun.

Pelumba kelahiran Colombia itu memenangi beberapa peringkat dalam Tour of California 2018, selain Kejohanan Ujian Masa Kebangsaan. – AFP