Nur Aisyah Zubir terus mencuri tumpuan apabila mudah mempertahankan emas dalam acara tersebut untuk merangkul emas ketiga peribadi dalam Sukma edisi ke-19 ini.

Pelumba berusia 21 tahun itu dinobatkan sebagai juara apabila mengumpul 36 mata untuk mengetepikan rakan sepasukan Ezzatie Fifiyana Shazwanie Shaiful Hisham di kedudukan kedua dengan 21 mata manakala gangsa menjadi milik pelumba Sarawak, Nur Azrenna Ahmad Jumry (14 mata).

Menurut Nur Aisyah, perlumbaan sejauh 41.6 kilometer (km) itu adalah terlalu mudah untuknya berbanding dengan latihan persediaan yang ditempuhi selama dua tahun.

“Perlumbaan sebenar dalam Sukma mudah sahaja. Ini kerana kami telah menjalani latihan persediaan yang lebih teruk daripada ini selama dua tahun. Saya bersama rakan sepasukan yang lain pernah berkayuh sejauh 300km sehari dalam cuaca yang sangat panas,” katanya.

Sementara itu, saingan lelaki yang berlangsung pada sebelah tengah hari turut didominasi oleh pelumba Terengganu menerusi Wan Abdul Rahman Hamdan dan Zuladri Amin Zulkurnain yang meraih emas dan perak masing-masing dengan 38 dan 25 mata.

Pelumba Selangor, Muhammad Fitri Saharil memenangi gangsa dengan 14 mata.