Selain kagum dengan mentaliti juara yang dimiliki barisan pelumba muda, Azizulhasni yang merupakan antara prospek pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 berkata, mereka turut memiliki pakej fizikal yang baik.

Bagaimanapun, bekas juara dunia keirin itu menjelaskan dua elemen tersebut tidak membawa sebarang makna jika tiada pemantauan rapi dan tiada pendedahan kepada perlumbaan secukupnya sebagai platform menimba pengalaman.

"Kita ada lebih enam pelumba muda yang memang berkemahiran tinggi untuk pergi jauh dan mereka memang ada mentaliti untuk jadi juara dunia. Mereka ada kemahuan, mereka sangat berdedikasi dan berdisiplin tinggi.

"Kalau cakap dari segi saiz fizikal, mereka memang mempunyai kelebihan yang jauh lebih baik daripada saya dan sekarang mereka berada di tahap yang tinggi jika dibandingkan dengan saya sewaktu di usia mereka.

"Tetapi mereka kurang dari segi keyakinan, jadi, bagi saya mereka perlukan pendedahan lebih luas, mereka perlu berlumba dan perlukan konsistensi dalam persekitaraan seperti itu," katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

Pada hari terakhir kejohanan di Velodrom Nilai, Azizulhasni yang mewakili Terengganu merangkul pingat emas ketiga selepas memenangi acara pecut serta 1 kilometer ujian masa, semalam, dan hari ini, dia mengungguli acara keirin dengan kepantasan 10.924s.

Pelumba itu menewaskan dua pelumba dari Selangor yang juga pelumba kebangsaan, Muhammad Fadhil Mohd Zonis yang memenangi perak, manakala gangsa menjadi milik Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin.

"Perlumbaan keirin, hari ini agak kompetitif banyak saingan diberikan, saya bersyukur dapat raih emas ketiga terutama bila hari ini saya berasa agak lesu dan mengantuk sebab secara berterusan berlumba dari minggu lepas ditambah dengan acara 1km dan pecut," tambahnya.

Dalam pada itu, acara keirin wanita menyaksikan Fatehah Mustapa dari Terengganu meraih emas dengan kepantasan 12.009s untuk mengatasi dua pelumba Perlis, Anis Amira Rosidi (perak) dan Ju Pha Som Net (gangsa). - BERNAMA