Jika pada peringkat pertama semalam dimenangi Miguel Angel Lopez, peringkat kedua hari ini diungguli rakan senegara Lopez iaitu Nairo Quintana yang juga bekas juara keseluruhan jelajah ini.

Quintana yang mewakili pasukan Movistar bijak memisahkan diri daripada kelompok paling depan enam pelumba ketika perlumbaan berbaki tiga kilometer sahaja lagi untuk memecut ke garisan penamat.

Walaupun tiba paling depan, Quintana bagaimanapun gagal merampas jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan apabila pelumba Ireland, Nicolas Roche yang berada lima saat di belakangnya mempunyai kombinasi masa lebih baik.

Roche bagaimanapun hanya memiliki kelebihan tipis dua saat di depan Quintana yang merupakan juara 2016 sebelum kesemua pelumba memulakan peringkat ketiga esok.

Pelumba Colombia yang turut menonjol hari ini adalah Rigoberto Uran apabila bersama-sama Quintana pada pendakian terakhir dalam perlumbaan sejauh 199.6km itu sebelum tercicir di belakang.

Juara Tour de France yang juga dari Colombia, Egan Bernal tidak menyertai Jelajah Sepanyol kali ini namun ia sedikit pun tidak menjejaskan penguasaan pelumba negara itu daripada terus mempamerkan dominasi. - AFP