Pengesahan itu dibuat pasukannya sendiri, Lotto-Soudal menerusi Twitter sambil mengucapkan takziah kepada keluarga, sahabat dan rakan sepasukan pelumba berusia 22 tahun itu.

“Tragedi yang memilukan buat ahli keluarga, sahabat dan rakan sepasukan Bjorg akhirnya berlaku. Bersemadilah dengan aman Bjorg,” tweet pasukannya, Lotto-Saudal.

Satu laman berita di Poland, Onet melaporkan, insiden perlanggaran itu berlaku ketika perlumbaan memasuki jarak 30 kilometer sebaik hujan baharu hendak turun. Lambrecht kemudiannya diberi rawatan segera dalam keadaan kritikal sebelum dikejarkan ke hospital.

“Dia disahkan mati ketika sedang menjalani pembedahan selepas segala usaha telah diambil untuk menyelamatkan nyawanya,” lapor laman berita itu.

Pengarah perlumbaan, Czeslaw Lang pula berkata, semua pelumba berada dalam kelajuan tinggi pada laluan menurun yang lurus dan lebar ketika itu sebelum Lambrecht tiba-tiba hilang kawalan dan bergerak ke kiri sebelum tragedi itu berlaku.

“Kecederaan yang dialaminya sangat serius sehingga memaksa kami menggunakan khidmat helikopter dan ambulan untuk membawanya ke hospital. Jantungnya kembali berdenyut tetapi masih tidak dapat diselamatkan ketika pembedahan,” katanya. - AFP