Dengan menawarkan mata Olimpik yang tinggi, kejayaan me­nempatkan diri dalam ke­du­dukan podium mencerahkan peluang trio yang turut dianggotai Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd. Zonis itu untuk berada pada kedudukan lapan terbaik mengikut negara.

Trio pecut berpasukan Malaysia ketika ini berada pada kedudukan ke-13 dalam ranking Olimpik dan ke-16 di dunia.

Presiden Persekutuan Ke­bang­saan Berbasikal Malaysia (PK­BM), Datuk Abu Samah Wahab ketika mengulas pentingnya saingan pecut berpasukan le­laki dalam Kejohanan Dunia ka­li ini berbanding acara indivi­du seper­ti keirin dan 200 meter pe­cut berkata, jika mampu menyinar, ia akan membantu Malaysia untuk mendapatkan tiket Sukan Olimpik 2020 dengan cara lebih mudah.

“Saya difahamkan tumpuan ketua jurulatih kita, John Beas­ley pada kejohanan kali ini adalah dalam pecut berpasukan.

“Ini ke­rana acara tersebut mampu menjadi jalan pintas untuk beberapa pelumba layak secara automatik dalam sai­ngan individu seperti keirin dan 200m pecut ke Sukan ­Olimpik 2020.

“Syaratnya, trio kita kena mencatat pencapaian yang baik di Pruszkow supaya boleh me­lonjakkan dalam kelompok lapan terbaik ranking Olimpik.

“Jika tidak, kita mungkin boleh mengharapkan Azizulhasni seorang sahaja untuk layak ke Olimpik menerusi ranking individu manakala Shah Firdaus dan Fadhil akan kempunan beraksi di Tokyo,” katanya.

Azizulhasni, 31, ketika ini ber­ada pada ranking keempat dunia keirin di belakang dua pelumba Jepun, Tomoyuki Kawabata dan Yuta Wakimoto yang berada di ranking No. 1 dan 2, dikuti Matthew Glaetzer ketiga.

Dalam ranking dunia 200m pecut, Azizulhasni berada di tangga ke-21 tetapi jika trio pecut berpasukan mampu menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik ranking Olimpik, kedudukan individu tidak langsung diambil kira.

Itu bermakna, Malaysia boleh mempunyai lebih daripada seorang pelumba di Tokyo nanti sambil, selain dapat menyertai acara pecut individu dan berpa­sukan sekali gus.

Malaysia hanya menghantar tiga pelumba lelaki dalam Kejohanan Dunia 2019 manakala pelumba wanita diketepikan kerana prestasi merudum selain agak sukar melayakkan diri ke Olimpik.

Hari ini, pelumba negara turun dalam saingan pecut berpasukan sebagai acara pertama, diikuti keirin pada 28 Februari dan yang terakhir 200m pecut pada 2 dan 3 Mac.