Ini selepas trio Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd. Zonis sekadar menduduki tangga kedua tercorot daripada 16 negara dalam kelayakan Kejohanan Basikal Trek Dunia di Pruszkow, Poland, hari ini.

Kedudukan itu tidak me­layakkan mereka beraksi pada pusingan seterusnya kerana hanya lapan pasukan terpantas kelayakan dibenar meneruskan kemaraan.

Dalam perlumbaan tersebut, trio negara mencatat masa 45.099 saat untuk ber­ada di depan Kazakhstan yang menduduki tempat tercorot.

Belanda (41.923s) muncul juara dengan menewaskan Perancis (42.889s) dalam aksi final manakala gangsa milik Rusia (43.115s) yang me­ngalahkan Jerman (43.294s) pada penentuan tempat ke-3/4

Catatan masa trio negara jauh lebih buruk dibandingkan masa yang dicatat ketika meraih perak Sukan Asia 2018 di Jakarta iaitu 44.598s dan ketika memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 43.934s pada aksi kelayakan dalam temasya sama.

Bagaimanapun, Malaysia masih berpeluang meneruskan misi memburu tiket ­Olimpik Tokyo 2020 dalam acara pecut berpasukan pada beberapa lagi kejohanan yang akan berlangsung sehingga Februari, tahun depan.

Cuma jika menang di Pruszkow ini, tugas mereka akan menjadi lebih mudah dan berpeluang baik untuk berada dalam kelompok lapan terbaik ranking Olimpik kerana Kejohanan Dunia menawarkan mata yang tinggi.

Ketika ini skuad pecut berpasukan Malaysia berada pada ranking ke-13 Olimpik dan ke-16 dunia.

Jika gagal menerusi Pelan ‘A’, Beasley masih ada Pelan ‘B’, yang mana pelumba boleh layak menerusi ranking individu, dan Azizulhasni adalah prospek terbaik bagi acara keirin serta 200 meter pecut.