Kejayaan itu diraih selepas pelumba Johor, Mohamad Saari Amri Abd. Rasim mengungguli saingan itu dengan berada di kedudukan pertama dalam aksi yang berlangsung di Dataran Warisan, hari ini.

Pelumba berusia 21 tahun itu dinobatkan sebagai juara menerusi catatan masa 3 jam 24 minit 37 saat untuk mengetepikan pencabar terdekat, Wan Abdul Rahman Hamdan dari kontinjen Terengganu yang terpaksa berpuas hari dikedudukan kedua manakala gangsa menjadi milik Muhamad Aliff Farhan Abu Samah dari Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, pelumba kelahiran Mersing tersebut mengakui kejayaan tersebut memang di luar jangkaannya lebih-lebih lagi setelah temasya kali ini turut diwakili oleh pelumba dari skuad kebangsaan serta benua.

“Sangat teruja dan gembira dengan kemenangan ini kerana tidak sangka mampu menamatkan perlumbaan di tempat pertama. Pelumba Terengganu dan Selangor memberi cabaran sengit tetapi 50 meter terakhir, berlaku pelanggaran antara pelumba Johor dan Terengganu, sekali gus membuka peluang untuk saya berada di hadapan.

“Sebenarnya kemenangan saya ini adalah dari kuasa Allah. Insya-Allah saya akan cuba mendapatkan satu lagi emas pada acara kriterium Sabtu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sukma 2018 merupakan kejohanan sulung dan terakhir buat Saari yang bakal menjalani ujian percubaan selama tiga bulan bersama skuad Team Sapura Cycling (TSC) selepas ini.

Dalam pada itu pengurus berbasikal Johor, Lalili Yusof berkata, kejayaan yang diraih oleh Saari telah menyemarakkan semangat skuad berbasikal Johor untuk menguasai semua pingat yang di pertandingkan pada acara berbasikal.