Semangat yang dipamerkan Muhammad Ameer, 24, itu menunjukkan kesungguhan para pelumba Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terdiri daripada anggota polis untuk bersaing dengan pasukan lawan pada TdIJ 2019 sebagai pasukan ‘underdog’.

Menariknya, pasukan PDRM tersebut turut diperkuatkan dengan pasangan kembar Muhammad Ameer, iaitu Muhammad Ameen yang bersama-sama menyertai kejohanan tersebut.

Muhammad Ameer ketika ditemui berkata, kejohanan tersebut merupakan perlumbaan pertama disertainya pada tahun ini dan semestinya mahu memberikan terbaik untuk pasukan.

“Apabila basikal saya mengalami kerosakan pada kedudukan 200 meter terakhir pada saingan pertama, saya tetap mahu menamatkan perlumbaan dengan menarik basikal.

“Ini kerana mahu memastikan saya dan pasukan dapat mengumpul masa terbaik untuk bekalan saingan seterusnya,” katanya kepada pemberita di pusat media TdIJ di Hotel Pinetree, di sini hari ini.

Usaha tersebut ternyata berbaloi apabila pasukan PDRM kini antara tiga pasukan terbaik dari Malaysia di belakang Terengganu Cycling Team dan pendahului kejohanan Team Sapura Cycling

Selain itu, Muhammad Ameer yang bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan juga berjaya memperoleh tempat 12 terbaik perlumbaan pada saingan kedua dari Muar ke Yong Peng semalam.

Dia bertekad untuk memberikan yang terbaik pada saingan terakhir hari ini untuk mencipta kejutan bagi dirinya dan pasukan.

Dalam pada itu, Muhammad Ameen berkata, mereka berdua telah berkecimpung dalam sukan berbasikal sejak berusia 17 tahun mewakili negeri Melaka dan pernah menyertai Sukan Malaysia (Sukma) Pahang dalam acara berbasikal.

“Apabila saya dan abang berlumba, kami mempunyai kesefahaman dan ini memberi kelebihan dalam membantu pasukan mendapat keputusan yang baik,” katanya yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor.

Dalam pada itu, Jurulatih pasukan tersebut, Manjit Delip Singh memberitahu, walaupun pasukannya tidak dibarisi pelumba terbaiknya, namun mereka menyasarkan untuk menjadi antara pasukan terbaik Malaysia pada kejohanan itu.

“Saya berpuas hati dengan prestasi anak buah pada kejohanan ini yang menunjukkan pencapaian baik apabila berada antara pasukan dari Malaysia yang terbaik,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Habis.