Pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asia Jakarta-Palembang 2018 itu mengakui belum berpuas hati dengan pencapaiannya pada masa kini walaupun melakar keputusan positif dalam beberapa kejohanan Asia.

Anak jati Pulau Pinang itu meraih tiga emas pada Kejohanan Berbasikal Para Asia 2019 dalam acara trek di Indonesia, Januari lepas,selain mengutip satu gangsa dalam acara lebuh raya (Kejohanan Berbasikal Para Asia (lebuh raya)) di Uzbekistan pada Mac lalu.

“Setakat ini saya hanya menjalani latihan seperti biasa di bawah kendalian Johari Nayan setelah kembali daripada menyertai dua kejohanan di Itali dan Belgium, baru-baru ini yang mana saya mendapat kedudukan 10 terbaik pada kedua-dua kejohanan berkenaan.

“Walaupun saya berjaya meraih tiga emas dan satu gangsa pada kejohanan Asia, saya berharap dapat memperbaiki lagi prestasi kerana sasaran utama adalah melayakkan diri ke Sukan Paralimpik 2020,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nur Azlia, 20 yang mempunyai masalah penglihatan sejak kecil mendedahkan, dia masih belum mengetahui kejohanan yang bakal disertainya dalam tempoh terdekat kerana ia bergantung kepada jurulatihnya.

“Kemungkinan besar saya akan meneruskan latihan seperti biasa di Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan, namun terpulang kepada jurulatih untuk menentukan kejohanan bakal saya sertai selepas ini,” jelas pemenang empat pingat emas Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 itu. - BERNAMA