Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab berkata, keputusan muktamad itu akan diputuskan oleh barisan Exco PKBM esok berdasarkan penilaian yang dilakukan ketika kejohanan kebangsaan di Kuala Kubu Bharu hujung minggu lalu.

“Kita akan putuskan dalam mesyuarat Exco PKBM yang akan berlangsung di Velodrom Nasional dekat Nilai.

“Kita sudah ada beberapa nama yang disenaraikan tetapi perlu dibincangkan terlebih dahulu sebelum mendapat kelulusan dan dihantar kepada jawatankuasa pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Kita juga akan panggil pe­ngurus pasukan berbasikal ke Sukan SEA, Amrun Misnoh untuk turut serta dalam me­syuarat itu dan mendengar pandangan beliau tentang pelumba mana yang akan dipilih,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam kejohanan kebangsaan baru-baru ini, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirul Fakruddin Mazuki muncul juara acara lepas beramai-ramai dengan menewaskan pelumba Sapura Cycling Team (TSC), Akmal Hakim Zakaria di tempat kedua dan pelumba Selangor, Sofian Nabil Omar Bakri, ketiga.

Mengenai kriteria yang akan digunakan, Abu Samah menjelaskan, skuad negara memerlukan pelumba pendaki yang kuat memandangkan laluan di Filipina nanti lebih banyak berbukit daripada landai.

“Sebab itu kita pilih untuk adakan kejohanan kebangsaan di Kuala Kubu Bharu kerana laluannya seakan sama seperti di Filipina.

“Jadi kita akan bentuk kombinasi dengan memilih lebih ramai pelumba pendaki berbanding pecut kali ini,” tambahnya.

Selain acara lepas beramai-ramai yang mana pelumba negara akan mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu, Malaysia juga akan menyertai acara ujian masa berpasukan lelaki yang dijangka diketuai pelumba di bawah projek Majlis Sukan Negara (MSN).

Malaysia juga akan menghantar pelumba untuk menyertai acara BMX dan basikal bukit (MTB) kemungkinan di bawah kategori B. - UTUSAN ONLINE