Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, kebimbangan itu tercetus berikutan buku teknikal (handbook) yang sepatutnya sudah siap masih gagal diperoleh, selain, belum ada lagi sebarang maklumat diberikan berhubung senarai atlet mengikut jumlah dan nama setakat ini.

“Itu semua menggusarkan sedikit persiapan pasukan negara kerana masa sudah semakin suntuk yakni tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Jadi beberapa tindakan perlu diambil segera untuk menyiapkan buku teknikal dengan pihak Filipina.

“Kita difahamkan delegasi teknikal Sukan SEA 2019 ialah (Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) Datuk Abu Samah (Wahab) sendiri. Jadi MSN terpaksa bekerjasama dengan beliau untuk mendapatkan maklumat tersebut dengan cepat.

“Masalah kita dengan Filipina (selaku penganjur Sukan SEA 2019) ketika ini adalah maklumat yang diberikan sering tidak lengkap,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan Berbasikal di Bukit Jalil, hari ini.

Mengikut kebiasaan temasya terdahulu tambah Shapawi, buku teknikal acara basikal lebuh raya sepatutnya sudah siap ketika ini tetapi ia gagal disediakan mengikut jadual.

“Boleh dianggap sudah agak lewat disiapkan kerana tinggal enam bulan lagi. Jadi pada kita, draf buku teknikal itu sudah ada tetapi belum pasti (kesahihannya),” tegasnya.

Bagi temasya edisi ke-30 kali ini, antara acara yang dipertandingkan dalam basikal lebuh raya adalah lepas beramai-ramai, ujian masa individu dan berpasukan. Basikal trek, bagaimanapun, digugurkan terus tetapi digantikan dengan BMX dan basikal bukit.

Sehingga ini skuad berbasikal negara meletakkan sasaran untuk membawa pulang satu emas menerusi acara ujian masa berpasukan. - UTUSAN ONLINE