Perlumbaan yang tidak kurang mencabar itu melibatkan kayuhan sejauh 137.7 kilometer dengan tiga zon pecutan, sekali gus memberi kelebihan buat pakar pecut untuk mendominasi saingan.

Pakar pecut negara, Mohd. Hariff Salleh dari pasukan TSG Cycling Team (TSG)sekali lagi menjadi tumpuan peminat tempatan bersama Muhammad Zawawi Azman (Team Sapura Cycling), Nik Mohd. Azwan Mohd. Bakri (skuad kebangsaan) dan Muhamad Nur Aiman Mohd. Zarrif (Sapura).

Bagaimanapun tumpuan utama perlumbaan pasti terarah kepada pemegang jersi kuning (pendahulu keseluruhan), Benjamin Dyball dari pasukan Sapura bersama Hernan Ricardo Aguirre Caipa (Interpro Cycling Academy) dan Keegan Swirbul dari pasukan Floyd’s.

“Tiga peringkat selepas ini bakal memberi kelebihan kepada pakar pecut kerana laluan pendek dan tidak banyak bukit,” kata Hariff.

Peringkat keenam mempunyai tiga zon pecutan di Sungai Petani, Gurun dan Pendang tanpa sebarang zon pendakian. - UTUSAN ONLINE