Trio Malaysia Mohammad Fariz Haikal Mohd Kadir, Muhammad Ridwan Sahrom dan Ahmad Safwan Ahmad Nazeri, meraih kedudukan ke-10 daripada 16 pasukan dengan catatan 46.724 saat dalam pusingan kelayakan bagi acara pecut pasukan lelaki.

India melakukan kejutan besar selepas memenangi pingat emas dengan catatan 44.625 saat, diikuti Australia, meraih perak (44.681s) manakala gangsa, dirangkul Great Britain (45.009s), menurut laman web rasmi kejohanan;https://jwm-frankfurt.de.

Sementara itu, kuartet negara terdiri daripada Muhammad Amir Farhan Haizeman, Muhammad Ibni Hissham Abd Rauf, Mohammad Justin Felix Nagel dan Abdul Azim Aliyas, gagal melayakkan diri ke pusingan pertama acara kejar mengejar berpasukan lelaki selepas menamatkan saingan di tempat ke-17 daripada 18 pasukan dengan catatan 4 minit 26.196 saat dalam pusingan kelayakan.

Pusingan akhir acara itu akan berlangsung kemudian, hari ini.

Terdahulu, Perancis mencipta rekod baharu dunia dengan 4 minit 00.384 saat dalam acara 3 perlumbaan menentang Rusia yang mencatat masa 4:02:543s.

Rusia merupakan pemegang rekod edisi 2017 dengan catatan 4:00.972s.- BERNAMA